Linda Widad Delgado : Perjalanan
Panjang Memperoleh Hidayah Islam
Oleh : http://swaramuslim.com/ISLAM/more.php?id=5395_0_4_0_M 04 May 2007
- 7:00 am
LINDA DELGADO, adalah seorang anggota polisi
berpangkat Sarjana di Arizona, Amerika Serikat.
Beliau menerima hidayah Allah dan memeluk agama Islam
ketika dunia digegarkan dengan isu terrorisme. Ikuti
kisah beliau berikut ini dalam terjemahan bahasa
malaysia.
LIMA tahun yang lalu, usia saya 52 tahun dan
merupakan seorang Kristian. Saya bukannya ahli pada
mana-mana gereja, tapi sepanjang hidup, saya sentiasa
mencari kebenaran. Saya menghadiri banyak gereja dan
belajar daripada guru-guru mereka.
Semuanya tidak lengkap dan saya menyedari tiada apa
yang benar melainkan Allah. Sejak usia saya 9 tahun
saya membaca Injil setiap hari. Tidak dapat
dikatakan, sejak sekian tahun lamanya, kerap kali
saya mencari kebenaran yang hakiki.
Bertahun-tahun lamanya sepanjang pencarian saya untuk
kebenaran, saya mempelajari beberapa ajaran agama.
Lebih setahun lamanya saya belajar dua kali seminggu
bersama seorang paderi Katolik, tapi tidak boleh
menerima kepercayaan Katolik.
Kemudian selama setahun saya mempelajari Kesaksian
Jehovah dan juga tidak dapat menerima kepercayaan
mereka.
Saya menghabiskan masa hampir dua tahun bersama
Mormon dan masih tidak menjumpai kebenaran.
Saya pergi ke beberapa gereja Protestan,
sesetengahnya selama beberapa bulan, cuba mencari
jawapan pada persoalan saya.
Hati saya mengatakan Jesus bukannya Tuhan tapi
adalah merupakan Nabi. Hati saya mengatakan Adam
dan Hawa bertanggungjawab atas dosa mereka, bukan
saya. Hati saya mengatakan saya mesti menyembah Tuhan
dan tiada yang lain.
Perasaan saya mengatakan saya bertanggungjawab atas
usaha baik dan jahat saya dan Tuhan sesekali tidak
akan menjelma menjadi manusia untuk memberitahu bukan
saya yang dipertanggungjawabkan. Dia tidak perlu
hidup dan mati sebagai manusia, kerana Dia ialah
Tuhan.
Begitulah kedudukan saya, penuh persoalan dan memohon
doa kepada Tuhan untuk pertolongan. Saya begitu takut
menghadapi maut tanpa mengetahui kebenaran. Saya
berdoa dan terus berdoa.
Saya menerima jawapan daripada paderi-paderi dan
mubaligh-mubaligh mengatakan, "Ini ialah satu
misteri".
Saya merasakan Tuhan mahukan manusia masuk ke syurga
jadi Dia tidak akan menjadikan ianya satu misteri
untuk pergi ke sana, bagaimana untuk menguruskan
kehidupan ini, dan bagaimana untuk mengenali Dia.
Saya tahu hati saya menyatakan iaitu apa yang saya
dengar selama ini tidak benar.
Saya tinggal di Arizona, Amerika Syarikat dan pada
usia 52 tahun belum pernah bercakap dengan orang
Islam. Saya seperti kebanyakan orang Barat, telah
membaca banyak melalui media mengenai Islam sebagai
agama fanatik dan teroris, jadi saya tidak pernah
mengkaji apa-apa buku atau maklumat mengenai Islam.
Saya tidak tahu apa-apa mengenai agama tersebut.
PENEMUAN SAYA
Empat tahun yang lalu, saya bersara setelah
berkhidmat selama 24 tahun sebagai pegawai polis.
Suami saya juga pesara polis. Setahun sebelum kami
bersara, saya merupakan seorang sarjan polis dan
penyelia. Anggota polis seluruh dunia mempunyai
ikatan yang sama, kita panggil sebagai Persaudaraan
Penguat kuasa Undang-Undang. Kita sentiasa membantu
antara satu sama lain tidak kira polis dari jabatan
mana atau negara mana sekalipun.
Tahun tersebut saya menerima satu risalah yang
memerlukan bantuan daripada sekumpulan anggota polis
dari Arab Saudi yang datang ke Amerika Syarikat untuk
belajar bahasa Inggeris di universiti berdekatan dan
mengadakan latihan di akademi polis di bandar tempat
tinggal saya.
Anggota polis dari Arab ini sedang mencari rumah
untuk mereka tinggal bersama keluarga angkat
bertujuan untuk mereka mempelajari budaya Amerika dan
mempraktikkan bahasa Inggeris yang mereka pelajari.
Anak lelaki saya membesarkan cucu perempuan saya
sebagai bapa tunggal. Saya membantunya mencari rumah
berhampiran rumah kami agar kami dapat menjaga cucu.
Saya berbincang dengan suami saya dan kami bersetuju
ada baiknya kita membantu anggota polis tadi. Ianya
juga merupakan satu peluang untuk cucu saya
mempelajari mengenai orang daripada negara lain. Saya
diberitahu anak-anak muda tadi beragama Islam dan
saya begitu tertanya-tanya.
Seorang jurubahasa dari Arizona State University
membawa seorang pemuda Arab bernama Abdul untuk
bertemu dengan kami. Kami menunjukkan kepada pemuda
tadi bilik tidur dan bilik mandi yang dia akan guna
apabila tinggal bersama kami. Saya terus sukakan
Abdul. Perwatakannya yang baik dan menghormati orang
memikat hati kami!
Kemudian Fahd dibawa ke rumah kami. Dia lebih muda
dan pemalu, tapi seorang anak muda yang ceria. Saya
menjadi tutor mereka dan kami berkongsi banyak
pengalaman kerja kepolisian, mengenai Amerika
Syarikat dan Arab Saudi, Islam dan lain-lain.
Saya memerhatikan bagaimana mereka saling bantu
membantu antara satu sama lain dan juga 16 anggota
polis Arab Saudi yang lain yang datang mempelajari
bahasa Inggeris.
Sepanjang tahun mereka di sini, saya menghormati Fahd
dan Abdul yang tidak membiarkan budaya Amerika
mempengaruhi mereka. Mereka ke masjid setiap hari
Jumaat, menunaikan solat pada setiap waktu walaupun
mereka keletihan, dan sentiasa berhati-hati apa yang
mereka makan dan seterusnya. Mereka menunjukkan
kepada saya masakan tradisional mereka dan mereka
membawa saya ke pasar dan restoran Arab. Mereka
begitu baik dengan cucu saya. Mereka sentiasa memberi
cucu saya hadiah, berjenaka dan bersahabat.
Mereka melayan saya dan suami saya dengan penuh
hormat. Setiap hari mereka akan bertanya sekiranya
mereka perlu membantu saya membeli barangan di pasar
sebelum mereka pergi belajar bersama anggota polis
Arab yang lain.
Saya mengajar mereka bagaimana menggunakan komputer,
dan saya melanggani akhbar Arab online dan mula
membuat carian di internet untuk mempelajari lebih
mendalam mengenai mereka, budaya mereka dan agama
mereka. Saya tidak mahu melakukan perkara yang boleh
menyinggung perasaan mereka.
Satu hari, saya menanyakan mereka jika mereka ada
Quran lebih. Saya hendak membaca apa yang
diperkatakan didalamnya. Mereka membuat permohonan
daripada kedutaan mereka di Washington DC dan
mendapatkan saya Quran terjemahan bahasa Inggeris,
kaset-kaset dan risalah-risalah. Atas kehendak saya,
kami mula berbincang mengenai Islam (mereka terpaksa
bercakap bahasa Inggeris dan ini menjadi fokus sessi
pembelajaran).
Saya mula menyayangi anak muda ini, dan mereka
memberitahu saya bahawa sayalah orang bukan Islam
yang pertama mereka mengajarkan Islam!
Setelah setahun, mereka menamatkan pengajian mereka
serta latihan di akademi polis. Saya telah dapat
membantu mereka dalam pengajian kepolisian, kerana
saya pernah menjadi jurulatih polis.
Saya mengajak ramai kawan-kawan polis mereka ke rumah
saya untuk menyiapkan projek universiti dan
mempraktikkan bahasa Inggeris. Seorang daripada
mereka membawa isteri ke Amerika, dan saya diajak ke
rumah mereka. Mereka begitu baik dan saya berbicara
dengan isterinya mengenai pakaian Islam, wudhu dan
perkara lain.
Seminggu sebelum "anak-anak angkat" saya
pulang ke Arab Saudi, saya merancang untuk mengadakan
jamuan makan malam dengan hidangan tradisional mereka
(saya membeli separuh daripadanya kerana tidak tahu
memasaknya). Saya membeli hijab dan baya (gaun
panjang). Saya hendak mereka pulang mengingati saya
memakai pakaian wanita Islam yang sempurna.
Mengucap dua kalimah syahadah
Sebelum kami mula hendak makan, saya mengucapkan dua
kalimah syahadah. Anak-anak muda tadi menangis dan
ketawa dan ia sungguh istimewa sekali. Saya percaya
dalam hati saya, Allah telah menghantar anak-anak
muda ini sebagai membalas jawapan saya dalam doa-doa
saya selama ini. Saya percaya Allah telah memilih
saya untuk melihat kebenaran pada cahaya Islam. Saya
percaya Allah telah menghantar Islam ke pintu rumah
saya. Saya memujiNya atas sifat keampunan, penyayang
dan pengasihNya kepada saya.
PENGEMBARAAN SAYA DALAM ISLAM
Anak-anak angkat Arab saya pulang ke kampung halaman
mereka seminggu selepas saya memeluk agama Islam.
Saya amat rindukan mereka, tapi masih terasa gembira.
Saya telah menghadiri masjid berdekatan tempat
tinggal saya sebaik sahaja saya memeluk agama Islam
dan mendaftarkan diri saya sebagai seorang Islam.
Saya menjangkakan sambutan yang baik daripada
masyarakat Islam tempatan. Saya menyangkakan semua
orang Islam adalah seperti anak-anak angkat saya yang
telah bersama saya setahun yang lalu.
Keluarga saya masih dalam keadaan terperanjat! Mereka
menyangkakan saya akan berpegang pada agama baru ini
hanya untuk sementara waktu, menjadi tidak ketentuan,
dan beralih ke agama lain, seperti mana yang saya
lakukan sebelum ini. Mereka begitu hairan dengan
perubahan pada kehidupan harian saya. Suami saya
seorang yang serba boleh, jadi dia membeli makanan
halal apabila saya katakan kita akan makan makanan
halal dan menjauhkan makanan haram, dia setuju.
Perubahan seterusnya ialah mengalihkan semua gambar
manusia dan gambar haiwan daripada semua bilik di
rumah kami. Satu hari apabila suami saya pulang kerja
dia mendapati gambar-gambar yang digantung di dinding
sebelum ini, telah disusun dalam album. Dia hanya
melihat tanpa sebarang komen.
Seterusnya saya menulis surat pada keluarga saya yang
bukan Islam dan memberitahu mereka keadaan saya dan
menjelaskan bagaimana ianya tidak akan mengubah
hubungan kekeluargaan. Saya menerangkan sedikit asas
Islam. Keluarga saya tetap dengan pendirian mereka,
dan saya meneruskan usaha belajar sembahyang dan
membaca Quran. Saya menjadi aktif dalam kumpulan
wanita Islam melalui internet dan ini memudahkan
pembelajaran saya.
Saya juga menghadiri kelas asas Islam di masjid
apabila saya tidak bekerja. Saya masih seorang sarjan
polis ketika itu dan ianya adalah sukar
sebenarya mustahil untuk bertudung. Ini begitu
menggusarkan saya dan amat saya bimbang. Hanya lapan
bulan lagi dan saya boleh bersara, jadi saya membuat
permohonan, lalu dibenarkan untuk bekerja tiga hari
seminggu untuk saya membuat perancangan dan projek
penyelidikan.
Enam bulan berlalu, muslimah di masjid tidak begitu
mengendahkan saya. Saya merasa kecewa. Saya terasa
seperti orang luar. Saya jadi keliru. Saya cuba
bergiat aktif dalam komuniti bersama segelintir
muslimah yang baik dengan saya. Saya tercari-cari
mereka yang baik hati, setia kawan dan sikap yang
baik yang ditelah ditunjukkan oleh anak-anak muda
polis Arab pada setiap hari.
Saya melakukan banyak kesilapan di masjid, seperti
bercakap di tempat sembahyang. Saya pergi ke majlis
komuniti dan makan dengan menggunakan tangan kiri;
saya menggunakan nail polish dan telah
dimarahi. Saya mengambil wudhu dengan cara yang salah
dan dipandang serong. Saya menjadi lemah semangat.
Pada satu hari saya menerima bungkusan daripada kawan
muslimah saya yang saya kenal melalui internet. Dalam
bungkunsan tersebut terdapat beberapa abayas, hijabs,
stokin sutera dan sekeping nota yang mengalu-alukan
kemasukan saya ke dalam agama Islam. Wanita ini
daripada Kuwait.
Seterusnya seorang muslimah yang baik hati
mengirimkan telekung dan sejadah yang dia buat
sendiri. Wanita baik ini tinggal di Arab Saudi.
Saya menerima e-mel yang saya sentiasa ingat apabila
saya terasa seperti orang asing. Nota dalam e-mel
tersebut berbunyi : " Saya merasa gembira anda
memeluk agama Islam, sebelum saya menemui ramai orang
Islam". Ini bukanlah penghinaan. Ianya adalah
peringatan iaitu Islam itu sempurna dan kita
sebenarnya orang Islam yang tidak sempurna.
Sepertimana diri saya sendiri yang mempunyai
kelemahan, begitulah juga saudara-saudara Islam saya
yang lain.
Saya juga mula memahami apa yang saya percaya sebagai
anugerah Allah pada umat Islam : iaitu persaudaraan
dalam Islam.
Empat tahun berlalu, kehidupan saya berubah dengan
begitu ketara. Keluarga saya telah menerima dengan
rasa baik dan toleran yang saya adalah seorang Islam
dan akan sentiasa berada dalam keIslaman. Segala puji
bagi Allah yang telah menguji saya yang memeluk Islam
dan berhadapan dengan keluarga yang berusaha untuk
mengeluarkan saya daripada Islam.
Beransur-ansur, saya mendapat kawan setempat dan
melalui ruangan siber, ramai kawan-kawan muslimah
saya telah menjadi keluarga Islam saya yang membantu,
mengasihi dan menjalinkan persahabatan. Penghujung
tahun pertama saya memeluk Islam, saya telah jatuh
sakit dengan penyakit yang membahayakan. Saya
berpegang teguh pada tali Islam dan bersyukur dengan
pemberian teh biji hitam dan air zam-zam serta doa
daripada sahabat saya serata dunia.
Setelah keadaan kesihatan saya bertambah teruk saya
menjadi lemah. Saya terpaksa memberhentikan kerja
komuniti dan terpisah daripada komuniti Islam
setempat. Saya berusaha keras dalam solat saya,
menghadapi kesukaran untuk menyebut perkataan Arab,
tapi tidak pernah putus asa.
Guru yang mengajar Islam membuat beberapa kaset, dan
sahabat saya membawanya ke rumah saya. Setelah dua
tahun, saya telah belajar empat surah daripada Quran.
Ini mungkin nampak sedikit pada kebanyakan orang
Islam, tapi untuk saya ianya adalah satu pencapaian
yang besar. Saya belajar memahami ayat-ayat yang
diucapkan didalam solat, perjuangan selama dua tahun.
Tahun ketiga keIslaman saya, saya terkena serangan
sakit jantung dan terpaksa melalui pembedahan
jantung. Ianya waktu yang begitu sedih untuk saya,
kerana saya tahu saya tidak akan dapat menyentuh dahi
saya ke lantai ketika solat, tapi akan selamanya
terpaksa duduk atas kerusi untuk menunaikan solat.
Pada masa inilah saya memahami kemudahan yang Allah
berikan dalam ibadah. Bersembahyang secara duduk
diatas kerusi adalah dibolehkan; tidak berpuasa
apabila keuzuran adalah dibolehkan. Saya tidak
merasakan keIslaman saya kurang apabila saya
melakukannya dalam keadaan yang demikian.
Setelah menziarahi beberapa buah masjid, ianya adalah
seperti Mini Bangsa Bangsa Bersatu, saya dapat
melihat beberapa kumpulan kecil di masjid yang
terhasil mengikut bahasa dan budaya bukannya
disebabkan oleh suka atau tidak suka pada seseorang.
Saya merasa senang walaupun terdapat banyak
perbedaan, saya sentiasa boleh mendapatkan ucapan
"Assalamualaikum" dan senyuman.
Kemudian, saya mula berkenalan dengan mereka yang
memeluk Islam seperti saya. Terdapat banyak persamaan
antara kita kami menghadapi ujian yang sama,
seperti ahli keluarga yang bukan Islam, kesukaran
menyebut perkataan Arab, terasa kesunyian pada hari
perayaan Islam, dan tidak mempunyai ahli keluarga
untuk berbuka pada bulan Ramadhan.
Adakalanya keIslaman kami akan mengakibatkan sahabat
lama kita yang tidak boleh menerima perubahan pada
diri kita, atau disebabkan oleh aktiviti yang kita
tidak dapat bersama dengan mereka yang bukan Islam
seperti menari serta pergaulan bebas lelaki dan
perempuan.
Apabila saya tidak berupaya melakukan khidmat
komuniti, saya berusaha dengan cara lain untuk
kebaikan komuniti Islam. Saya berterusan memohon
pertolongan Allah dalam hal ini.
Pada satu hari, cucu saya mencadangkan agar saya
menulis buku mengenai anak-anak angkat saya daripada
Arab Saudi, Islam dan pengalaman keluarga saya dengan
Islam. Saya membuat keputusan untuk menulis buku dan
termasuk juga cerita mengenai sekumpulan gadis, Islam
dan bukan Islam. Cerita tersebut termasuklah masalah
yang dihadapai oleh anak gadis di sekolah dan di
rumah dan saya akan menggunakan pengetahuan saya
dalam Islam sebagai panduan untuk karektor dalam buku
tersebut.
Saya mula menulis beberapa siri buku yang dipanggil
"Islamic Rose Books". Saya membentuk
kumpulan penulis wanita Muslim dan penulis aspirasi
dan seterusnya terhasillah persatuan Islamic Writers
Alliance (Persekutuan Penulis Islam). Persekutuan ini
ialah organisasi antarabangsa yang memberi sokongan
untuk penulis wanita Islam dan penulis aspirasi.
Matlamat utama kami ialah untuk mempromosi hasil
kerja kami kepada para pembaca dan penerbit.
Saya juga membuat keputusan untuk membantu dua Tabung
Makanan Islam dengan cara membantu mereka membuat
pangkalan data yang digunakan untuk tujuan inventori,
pelanggan, dan untuk menghasilkan lapuran yang
diperlukan untuk tujuan penajaan serta pembiayaan.
Saya juga membuat keputusan iaitu saya akan
membelanjakan sebahagian besar keuntungan hasil
jualan buku tersebut untuk membeli buku dan
ditempatkan di perpustakaan kanak-kanak. Saya dapati
banyak perpustakaan yang mempunyai banyak ruangan
kosong ditempat buku kanak-kanak Islam.
Banyak lagi yang saya perlu pelajari mengenai Islam.
Saya tidak pernah jemu membaca Quran dan saya gemar
membaca kisah-kisah mengenai tokoh-tokoh Islam yang
unggul.
Apabila saya merasa ragu-ragu dalam sesuatu perkara,
saya akan merujuk pada sunnah Rasul saw. Saya akan
melihat bagaimana Baginda saw akan bertindak dalam
sesuatu situasi dan saya akan menjadikannya sebagai
panduan.
Pengembaraan saya dalam Islam akan berterusan, dan
saya sentiasa mengharapkan pengalaman-pengalaman
baru. Saya bersyukur pada Allah atas sifat
keampunanNya dan sifat penyayangNya - zs
Tulisan asal di
http://www.islam-online.net/english/journey/2004/03/jour02.shtml
Link
- http://www.widad-lld.com/
- http://www.islamicwritersalliance.net/Fullbios/Delgado.html
- http://muslimspace.com/Linda_Delgado_Widad